BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, October 11, 2008

Nokia E61i

Persis komputer riba


SKRIN lebar yang dimiliki Nokia E61i ini memberikan kepuasan ketika menatap emel.


DENGAN kelebaran 70 milimeter, model E61i Nokia memberikan pengalaman baru kepada penulis dalam penggunaan telefon bimbit. Ia nyata berbeza dengan telefon bimbit yang biasa penulis gunakan yang lazimnya dapat digenggami penuh tangan.

Fungsi dan kondisi fizikalnya memungkinkan penulis menganggapnya seperti komputer riba. Bersifat mudah alih, pad kekunci berwarna peraknya juga disusun seperti pada komputer iaitu versi QWERTY.

Kekunci navigasinya berada di tengah telefon bimbit dan di kiri serta kanannya terdapat beberapa kekunci pintas untuk ke menu, buku telefon, mesej dan sebagainya.

Penulis melihat telefon ini ideal bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia bisnes, seperti juga telefon bimbit E65 yang pernah direviu di laman ini. Skrin lebarnya memberikan kepuasan ketika menatap emel dan melayari internet menerusi 3G.

Bukan bersandar kepada skrin lebarnya semata-mata, pengalaman beremel diperbaik dengan protokol emel dilanjutkan kepada POP/IMAP dan SMTP. Anda juga boleh membuka emel yang dilampirkan bersama lampiran dengan perisian Quickoffice, ZIP Manager dan Adobe Acrobat Reader.

Nokia E61i menyokong solusi korporat emel mudah alih seperti Nokia Intellisync Wireless Email, Good Mobile Messaging, Mail for Exchange, Seven Mobile Mail dan Blackberry Connect serta kebanyakan solusi emel pengguna yang popular.

Telefon bimbit yang didapati dalam warna Mocca ini juga dilengkapi dengan Bluetooth, inframerah dan WLAN. Perkhidmatan digital di udara (OTA) membolehkan ia memuat turun nada dering, emel, WAP, MMS dan logo operator.

Apabila hendak berhibur, anda boleh mendengar lagu-lagu kegemaran di perpustakaan lagu anda. E61i menerima audio berformat AAC, MP3, MP4, MIDI and SP-MIDI. Anda bahkan boleh mengawal volume suara dengan menekan kekunci yang terdapat di sisi kanan telefon bimbit. Kekunci rakaman suara turut berada di sisi yang sama.

Anda juga boleh mengambil gambar dan merakamkan video saat-saat penting dalam hidup anda dengan menggunakan kamera beresolusi 2 megapikselnya.

Telefon bimbit ini dilengkapi dengan memori bina dalam 60 megabait dan menerima memori luaran microSD sehingga 2 gigabait.

Selain itu, telefon berharga RM1,799 ini dilengkapi fungsi-fungsi lain seperti kalkulator, kalendar, nota, pembaca mesej, penukar unit dan cetakan menggunakan teknologi tanpa wayar Bluetooth.

0 comments: