BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, October 19, 2008

Sistem Penyejukkan - Nyawa Sebuah Enjin


GRIL kereta-kereta moden kini direka dengan lebih efisien untuk kemasukan udara sejuk.


WALAUPUN enjin petrol dan diesel telah banyak berubah dan diperbaharui dengan berbagai teknologi tetapi masih tiada yang mampu beroperasi dengan efisien pada tahap 100 peratus terutamanya dalam menukarkan tenaga bahan kimia kepada tenaga mekanikal.

Ini kerana hampir 70 peratus tenaga dalam bahan kimia atau bahan api tersebut bertukar menjadi haba selain daripada menghasilkan tenaga untuk tujahan ketika proses mampatan dan pembakaran di dalam enjin.

Oleh kerana faktor inilah maka diwujudkan sistem penyejukan enjin untuk mengatasi masalah haba yang terhasil secara semula jadi ini.

Haba yang dihasilkan oleh enjin walaupun selepas dipasangkan dengan sistem penyejukan, sebuah kereta biasa sudah cukup untuk memanaskan ruang sebesar dua buah rumah.


SELAIN radiator, alat penyejuk minyak turut membantu kenderaan berprestasi tinggi menurunkan suhu dengan kadar yang lebih pantas.


Tugas utama sistem penyejukan adalah untuk memastikan enjin tidak akan terlebih panas (over heating) dengan memindahkan haba dari enjin ke bendalir dan kemudiannya ke penyahan haba melalui udara.

Hampir semua jenis enjin akan beroperasi dengan baik pada tahap kepanasan yang ideal (operating temperature). Jika enjin tersebut beroperasi dalam keadaan yang agak sejuk, komponen yang bergerak dan mengalami geseran di dalamnya akan lebih pendek jangka hayatnya dan kurang efisien serta mengeluarkan lebih banyak tahap pencemaran pada gas ekzos.

Memastikan enjin cepat panas setelah dihidupkan dan memastikan tahap kepanasan sentiasa di tahap yang ideal adalah antara tugas utama satu sistem penyejukan.


MATERIAL aluminium kini popular untuk menyerap haba.


Komponen yang mengendalikan tugas ini pula adalah termostat. Di dalam enjin, bahan api akan terbakar secara berterusan berdasarkan bilangan lejang dan silinder serta haba yang terhasil akan terus disalurkan pada sistem ekzos dan sebahagiannya di serap semula ke dalam enjin untuk memanaskan sedikit keadaan enjin dengan saluran sekunder daripada manifold ekzos ke kebuk kemasukan.

Kebanyakan enjin akan beroperasi dengan baik pada keadaan bendalir penyejuknya pada takat 93 darjah selsius. Pada tahap ini, ruang kebuk pembakaran akan cukup panas dan membolehkan pembakaran bahan api menjadi lebih lengkap dan sempurna untuk menghasilkan kuasa yang sebaik mungkin.

Keadaan minyak pelincir akan lebih cair atau tahap kelikatannya akan menurun sedikit dan ini akan membolehkan komponen enjin bergerak dengan kurang bebanan mekanikal serta boleh menjadi faktor penjimatan bahan api.

Begitu juga dengan komponen dan mekanikal yang bergerak akan kurang mengalami kadar geseran dan jangka hayat akan lebih lama.

Dua jenis sistem penyejukan yang digunakan secara meluas terhadap dunia automotif. Sistem penyejukan bendalir atau menggunakan air serta campuran kimia sebagai medium penyejukan dan sistem udara.

Sistem ini membolehkan bendalir melalui beberapa laluan liang pada bahagian blok enjin bermula daripada unit penukar / penyah haba iaitu radiator, melalui salur paip masuk ke enjin dan akan berkitar semula ke radiator untuk proses penyahan haba.


CORONG udara yang terdapat pada badan kenderaan membantu dari segi aerodinamik dan berupaya memerangkap udara sejuk.


Apabila air panas yang masuk ke radiator, haba akan di lepaskan melalui kepingan jejari liang halus yang terdapat pada struktur radiator.

Udara akan melalui ruang kepingan ini, ia akan menyahkan sekali haba yang ada pada kepingan tersebut dan dengan cara ini air di dalam liang tersebut akan dapat diturunkan habanya.

Kebanyakan sistem baru akan mempunyai kipas penyedut yang akan menyedut atau menolak udara secara deras ke radiator untuk tahap penyejukan yang lebih cekap dan berkesan.

Kaedah penyejukan berdasarkan medium udara pula, banyak diaplikasikan pada kereta-kereta lama. Selain menggunakan bendalir sebagai medium penyejukan, udara digunakan iaitu dengan menggunakan kipas yang menghembuskan udara melalui ruang blok enjin yang mempunyai kepingan aluminium yang nipis untuk menyahkan haba yang terhasil dari enjin.

Sistem penyejukan bendalir mempunyai beberapa komponen yang penting iaitu radiator, pam utama dan termostat. Pam utama bertindak menghasilkan tekanan terhadap bendalir agar dapat bergerak melalui kesemua laluan di dalam enjin serta masuk semula ke radiator.

Termostat pula berfungsi sebagai pintu yang akan terbuka dan tutup mengikut tahap kepanasan enjin. Pada keadaan enjin sejuk, termostat akan tertutup untuk membolehkan enjin panas dengan lebih cepat kepada tahap kepanasan yang baik untuk beroperasi.


SETIAP bendalir kenderaan wajib diperiksa setelah mencapai jarak maksimum untuk memanjangkan hayat enjin.


Setelah mencapai tahap tersebut, termostat akan terbuka untuk membolehkan air yang sejuk dari radiator masuk ke enjin menggantikan air yang telah panas yang seterusnya masuk semula ke radiator untuk mengulangi proses penyejukan. Termostat akan terbuka dan tutup mengikut keadaan kesesuaian tahap kepanasan enjin untuk menstabilkan tahap kepanasan yang ideal.

Kebanyakan enjin moden mempunyai rekaan yang didatangkan dengan sokongan penyejukkan oil cooler sama ada untuk sistem transmisi automatik ataupun untuk blok enjin.

Ia kerap digunakan terhadap enjin yang mampu menghasilkan kuasa yang agak besar berbanding pada sesarannya yang kecil.

Penggunaan unit oil cooler ini telah terbukti dan ia telah pun menjadi satu komponen asas yang mesti ada bagi mereka yang terlibat di dalam arena pengubahsuaian enjin kenderaan.

Selain menyokong penyejukan bendalir pelincir di dalam enjin ia juga membantu mengurangkan beban haba yang digalas oleh sistem penyejukan radiator.

0 comments: