BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 31, 2008

Solatullah Salamullah

Sunday, October 26, 2008

Tapak batu dedah tarian haiwan purba


JEJAK dinosaur ini memaparkan corak konsisten seumpama rentak tarian.


WASHINGTON - Saintis Universiti Utah mengenal pasti koleksi lebih 1,000 jejak kaki dinosaur pada tapak batu yang dipercayai sebagai tarian lantai haiwan purba tersebut.

Dijumpai dalam kawasan gurun Monumen Kebangsaan Vermilion Cliffs di sempadan negeri Arizona-Utah, pakar geologi menganggarkan jejak itu berusia kira-kira 190 juta tahun.

Penemuan itu dilaporkan di dalam jurnal palaentologi ternama, Palaios memaparkan format tarian yang mungkin dilakukan pelbagai spesies dinosaur berusia remaja.

"Tempat ini mungkin seumpama dewan ballroom gergasi yang menjadi tumpuan ramai dinosaur pada hujung minggu," kata Prof. Marjorie Chan dari Universiti Utah.

- Agensi

Kereta Selaju 1690 Kilometer Dicipta


PROJEK kereta terpantas Bloodhound menyaksikan perlumbaan jentera canggih dibina di seluruh dunia.


LONDON - Selepas kejayaan mencipta kereta berkuasa jet roket pada 1997 dengan kelajuan 1,228 kilometer sejam, penyelidik British kini mahu memecah rekod lebih pantas.

Kereta terbaru yang dikenali sebagai Bloodhound itu dengan kuasa enjin jet Eurofighter-Typhoo, bakal dipandu pada kelajuan 1,000 batu sejam atau bersamaan dengan 1,610 kilometer sejam.

Konsep kereta tersebut yang lebih pantas daripada tembakan peluru senapang patah sudah dijalankan 18 bulan lalu dan projek itu bakal dilancarkan pada tahun 2011.

"Ia mampu memecut daripada sifar kepada 1,690 kilometer sejam dalam masa 40 saat dengan berat badan 12 tan titanium gred tinggi," kata ketua projek, Richard Noble. - Agensi

Sunday, October 19, 2008

Sistem Penyejukkan - Nyawa Sebuah Enjin


GRIL kereta-kereta moden kini direka dengan lebih efisien untuk kemasukan udara sejuk.


WALAUPUN enjin petrol dan diesel telah banyak berubah dan diperbaharui dengan berbagai teknologi tetapi masih tiada yang mampu beroperasi dengan efisien pada tahap 100 peratus terutamanya dalam menukarkan tenaga bahan kimia kepada tenaga mekanikal.

Ini kerana hampir 70 peratus tenaga dalam bahan kimia atau bahan api tersebut bertukar menjadi haba selain daripada menghasilkan tenaga untuk tujahan ketika proses mampatan dan pembakaran di dalam enjin.

Oleh kerana faktor inilah maka diwujudkan sistem penyejukan enjin untuk mengatasi masalah haba yang terhasil secara semula jadi ini.

Haba yang dihasilkan oleh enjin walaupun selepas dipasangkan dengan sistem penyejukan, sebuah kereta biasa sudah cukup untuk memanaskan ruang sebesar dua buah rumah.


SELAIN radiator, alat penyejuk minyak turut membantu kenderaan berprestasi tinggi menurunkan suhu dengan kadar yang lebih pantas.


Tugas utama sistem penyejukan adalah untuk memastikan enjin tidak akan terlebih panas (over heating) dengan memindahkan haba dari enjin ke bendalir dan kemudiannya ke penyahan haba melalui udara.

Hampir semua jenis enjin akan beroperasi dengan baik pada tahap kepanasan yang ideal (operating temperature). Jika enjin tersebut beroperasi dalam keadaan yang agak sejuk, komponen yang bergerak dan mengalami geseran di dalamnya akan lebih pendek jangka hayatnya dan kurang efisien serta mengeluarkan lebih banyak tahap pencemaran pada gas ekzos.

Memastikan enjin cepat panas setelah dihidupkan dan memastikan tahap kepanasan sentiasa di tahap yang ideal adalah antara tugas utama satu sistem penyejukan.


MATERIAL aluminium kini popular untuk menyerap haba.


Komponen yang mengendalikan tugas ini pula adalah termostat. Di dalam enjin, bahan api akan terbakar secara berterusan berdasarkan bilangan lejang dan silinder serta haba yang terhasil akan terus disalurkan pada sistem ekzos dan sebahagiannya di serap semula ke dalam enjin untuk memanaskan sedikit keadaan enjin dengan saluran sekunder daripada manifold ekzos ke kebuk kemasukan.

Kebanyakan enjin akan beroperasi dengan baik pada keadaan bendalir penyejuknya pada takat 93 darjah selsius. Pada tahap ini, ruang kebuk pembakaran akan cukup panas dan membolehkan pembakaran bahan api menjadi lebih lengkap dan sempurna untuk menghasilkan kuasa yang sebaik mungkin.

Keadaan minyak pelincir akan lebih cair atau tahap kelikatannya akan menurun sedikit dan ini akan membolehkan komponen enjin bergerak dengan kurang bebanan mekanikal serta boleh menjadi faktor penjimatan bahan api.

Begitu juga dengan komponen dan mekanikal yang bergerak akan kurang mengalami kadar geseran dan jangka hayat akan lebih lama.

Dua jenis sistem penyejukan yang digunakan secara meluas terhadap dunia automotif. Sistem penyejukan bendalir atau menggunakan air serta campuran kimia sebagai medium penyejukan dan sistem udara.

Sistem ini membolehkan bendalir melalui beberapa laluan liang pada bahagian blok enjin bermula daripada unit penukar / penyah haba iaitu radiator, melalui salur paip masuk ke enjin dan akan berkitar semula ke radiator untuk proses penyahan haba.


CORONG udara yang terdapat pada badan kenderaan membantu dari segi aerodinamik dan berupaya memerangkap udara sejuk.


Apabila air panas yang masuk ke radiator, haba akan di lepaskan melalui kepingan jejari liang halus yang terdapat pada struktur radiator.

Udara akan melalui ruang kepingan ini, ia akan menyahkan sekali haba yang ada pada kepingan tersebut dan dengan cara ini air di dalam liang tersebut akan dapat diturunkan habanya.

Kebanyakan sistem baru akan mempunyai kipas penyedut yang akan menyedut atau menolak udara secara deras ke radiator untuk tahap penyejukan yang lebih cekap dan berkesan.

Kaedah penyejukan berdasarkan medium udara pula, banyak diaplikasikan pada kereta-kereta lama. Selain menggunakan bendalir sebagai medium penyejukan, udara digunakan iaitu dengan menggunakan kipas yang menghembuskan udara melalui ruang blok enjin yang mempunyai kepingan aluminium yang nipis untuk menyahkan haba yang terhasil dari enjin.

Sistem penyejukan bendalir mempunyai beberapa komponen yang penting iaitu radiator, pam utama dan termostat. Pam utama bertindak menghasilkan tekanan terhadap bendalir agar dapat bergerak melalui kesemua laluan di dalam enjin serta masuk semula ke radiator.

Termostat pula berfungsi sebagai pintu yang akan terbuka dan tutup mengikut tahap kepanasan enjin. Pada keadaan enjin sejuk, termostat akan tertutup untuk membolehkan enjin panas dengan lebih cepat kepada tahap kepanasan yang baik untuk beroperasi.


SETIAP bendalir kenderaan wajib diperiksa setelah mencapai jarak maksimum untuk memanjangkan hayat enjin.


Setelah mencapai tahap tersebut, termostat akan terbuka untuk membolehkan air yang sejuk dari radiator masuk ke enjin menggantikan air yang telah panas yang seterusnya masuk semula ke radiator untuk mengulangi proses penyejukan. Termostat akan terbuka dan tutup mengikut keadaan kesesuaian tahap kepanasan enjin untuk menstabilkan tahap kepanasan yang ideal.

Kebanyakan enjin moden mempunyai rekaan yang didatangkan dengan sokongan penyejukkan oil cooler sama ada untuk sistem transmisi automatik ataupun untuk blok enjin.

Ia kerap digunakan terhadap enjin yang mampu menghasilkan kuasa yang agak besar berbanding pada sesarannya yang kecil.

Penggunaan unit oil cooler ini telah terbukti dan ia telah pun menjadi satu komponen asas yang mesti ada bagi mereka yang terlibat di dalam arena pengubahsuaian enjin kenderaan.

Selain menyokong penyejukan bendalir pelincir di dalam enjin ia juga membantu mengurangkan beban haba yang digalas oleh sistem penyejukan radiator.

Tulus Menyayangi Allah

Mengingati Allah bukan hanya ketika berdepan dengan kesusahan, tetapi juga memanjatkan kesyukuran ketika diberikan kejayaan.

http://www.cuti.com.my/album/albums/userpics/13158/khusyuk-berdoa.jpg

SYUKUR merupakan sifat mulia yang dikaitkan dengan amalan hati dan akhlak terpuji yang sepatutnya sentiasa menghiasi kehidupan. Syukur sebagai satu sifat yang dilahirkan daripada respons terhadap nikmat yang dikurniakan Allah. 'Ingatlah kepada ku (Allah) nescaya aku ingat kepada mu. Dan hendaklah kamu bersyukur kepada ku dan janganlah kamu lupakan budi ku'- surah al-Baqarah: 152. Orang yang sentiasa bersyukur adalah orang yang sentiasa menyemai sifat manusiawi dalam erti kata sentiasa bertimbang rasa, tahu menerima kasih sayang Allah.

Syukur terhadap nikmat Allah datang daripada pelbagai bentuk. Syukur terhadap kurniaan Allah atas anugerah kesempurnaan fizikal atau jasmaniah (anggota tubuh badan). Firman Allah: 'Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibu mu tanpa mengetahui sesuatu. Kemudian diberikannya kamu pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur' - surah al-Nahl: 78.

Syukur juga merangkumi kurniaan terhadap rezeki kurniaan Allah. Firman Allah: 'Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), kami hidupkan dan kami keluarkan dari dalamnya biji-bijian, lalu mereka makan daripadanya.

'Dan kami jadikan daripadanya beberapa kebun dari kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya mata air agar mereka makan dari buah-buahan dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka bersyukur'. Tegas Allah lagi dalam surah al-Nahl ayat 18 yang bermaksud: 'Dan kalau mahu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah kamu menghitung (seluruhnya) dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'.

Rasulullah sentiasa menjadikan amalan bersyukur dalam kehidupan Baginda. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud menjelaskan bahawa 'Adalah Nabi apabila mendapat khabar yang menyenangkan hati, lantas beliau sujud kepada Allah'. Sementara dalam hadis yang lain menyatakan 'Dari Abu Bakrah, bahawa Nabi Muhammad apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, segera beliau tunduk bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah'- Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Al-Baihaqi meriwayatkan: Rasulullah lakukan sujud syukur bila menerima surat daripada Ali ketika menceritakan tentang ramai penduduk Yaman memeluk agama Islam.

Syukur boleh dicernakan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui perbuatan, melalui hati dan melalui lisan. Syukur melalui perbuatan merangkumi membelanjakan harta ke jalan kebajikan seperti sedekah dan amalan jariah. Melalui ilmu yang diperoleh dan disebar serta diajar kepada orang lain.


PELBAGAI cara menzahirkan rasa syukur kepada Allah antaranya melafazkan zikir.


Melalui kuasa, pangkat dan kedudukan pula dengan memberi khidmat yang terbaik. Syukur melalui hati pula adalah dengan cara mengakui dan menyedari dalam hati apa yang diperoleh daripada anugerah Allah.

Firman Allah: 'Tuhan mu lebih tahu apa yang ada dalam jiwa, jika kamu orang yang baik. Sesungguhnya dia Pengampun bagi orang yang bertaubat' - surah al-Isra'-25. Syukur dalam bentuk lisan adalah melalui ucapan seperti sentiasa melafazkan zikir seperti ucapan seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar.

Oleh itu, cernakan selalu budaya syukur dalam kehidupan kita, ingatlah bahawa apa yang kita peroleh hanya sementara dan sebagai ujian untuk melihat sejauh manakah kita dapat menzahirkan rasa ketakwaan yang tinggi terhadap Allah.

Pelajari Matematik Lebih Menyeronokkan

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela tetapi bagaimanakah ini boleh dilakukan?




KUNCI kepada kemahiran mengira bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah mengenali nombor-nombor asas dari satu ke lima sebelum memasuki peringkat lebih tinggi.

Ini termasuk menyusun nombor mengikut urutan, menghitung objek satu persatu atau menolak serta menambah nombor. Paling penting adalah bagaimana untuk meletakkan kemahiran ini ke dalam konteks pengiraan atau menyelesaikan sesuatu masalah sebenar.

Di sekolah, masalah matematik diajar menggunakan bahasa matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tetapi, apa yang lebih penting adalah mengajar anak tentang nombor dan matematik melalui kaedah yang lebih bermakna dan menyeronokkan.

Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa kemahiran mengira boleh dikaitkan dengan kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh si anak.


OBJEK-OBJEK yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mengajar anak tentang penambahan serta penolakan.


Berikut adalah beberapa idea bagaimana untuk membuatkan anak menikmati sesi 'pengiraan':

*** Tunjukkan kepada anak tentang apa sahaja yang bernombor di sekitar rumah atau ketika keluar bersiar-siar. Kalendar, jam dinding, telefon, rumah, bas dan nombor plat kereta adalah contoh terbaik untuk memberi anak perhatian positif terhadap segala yang berkait dengan nombor.

Pada mulanya anak akan mengenali ia sebagai angka sebelum memahami apa sebenarnya ia. Selepas itu, ia menyenangkan anda membantu anak melihat urutan serta membaca nombor-nombor tersebut.

*** Berikan anak pengenalan asas tentang masalah kiraan harian. Apabila membuat kek, anda boleh mengira bilangan telur, amaun gula pasir, berapa sudu teh air dan sebagainya.

Atau sewaktu membahagikan snek kepada rakan-rakan, anak anda boleh menjadi 'tukang pengukur' sama ada amaun yang diberikan sama rata. Mintalah anak membantu anda ketika menyediakan makan malam. Dia boleh diajar menghitung bilangan sudu dan garpu di atas meja.

Makanan sesungguhnya adalah insentif yang baik. Bijirin mahupun pasta kering boleh dikira sebelum dimakan. Ataupun anda boleh menghiaskan biskut-biskut mahupun mufin dengan kepingan gula yang cantik untuk dikira oleh anak.

*** Objek-objek asli seperti kulit kepah atau biji pokok ru juga merupakan satu kaedah menarik untuk digunakan sebagai bahan kiraan. Pastikan anak mengira satu-satu jenis objek pada sesuatu masa. Ini mungkin mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mahir.

Tetapi, objek-objek yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mendidik anak tentang penambahan serta penolakan. Formula menambah dan menolak akhirnya akan dihafal oleh anak yang lebih dewasa bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dengan pantas.

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela. Jika anak anda suka bermain dengan kereta, letakkan pelekat bernombor pada kereta atau minta anak untuk menyusun semula kotak-kotak kasut mengikut urutan nombornya. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk keretapi.

*** Jika anak anda suka bermain permainan yang melibatkan watak, gunakan barang permainan atau telefon lama untuk 'menelefon' rakan-rakan, ahli keluarga yang lain, doktor atau sekadar menempah piza. Tuliskan nombor dalam buku 'telefon' tersebut.

*** Rekakan angka menggunakan adunan tepung atau guntingkan penyedut air untuk dijadikan lilin palsu di atas 'kek' bagi tujuan kiraan. Berlakonlah seakan anda adalah peniaga dengan menggunakan duit sebenar dan letakkan tanda harga pada makanan atau barangan mainan untuk tujuan jual beli.

*** Nyanyikan lagu yang melibatkan nombor sambil menghitung menggunakan jari, barang permainan atau binatang plastik. Berbincanglah dengan anak tentang urutan nombor sebelum dan selepas. Gunakan kad-kad bergambar sebagai bantuan.

*** Untuk anak yang lebih aktif, gunakan lukisan bernombor yang besar atas kad atau kertas untuk menarik perhatiannya. Pilihlah sebarang nombor dan mintanya menyebut nombor tersebut. Satu lagi alternatif lain adalah dengan melabelkan nombor pada kotak-kotak dan membiarkan anak membuang bola ke dalam kotak berbeza bagi mengumpulkan mata.

*** Dapatkan anak untuk bermain permainan klasik yang melibatkan pengiraan seperti 'Pukul berapa sekarang?' atau mengambil bahagian dalam permainan 'ular dan tangga'.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.supernanny.com.

Layari Internet Baik Untuk Otak


GOLONGAN berusia emas gemar melayari internet untuk mendapatkan berita semasa.


LOS ANGELES - Mereka di peringkat umur pertengahan dan warga emas yang melayari internet dikatakan dapat membantu meningkatkan kemampuan serta kekuatan otak individu.

Pengkaji Universiti California, Profesor Gary Small dalam kajian dimuatkan American Journal of Geriatric Psychiatry, mendapati internet merangsang pusat otak yang berfungsi mengawal manusia untuk membuat keputusan dan aktiviti pergerakan.

Penemuan ini dapat membantu mereka pada peringkat umur tersebut kerana usia lanjut menyebabkan pengurangan aktiviti sel yang memungkinkan pretasi otak merosot.

Small memberitahu, aktiviti seperti teka silang kata dapat membantu meminimumkan impak otak selain melayari internet yang mempunyai banyak permainan berkaitan dengan minda. - Agensi

Sunday, October 12, 2008

Ikan Hidup Di Laut Paling Dalam Dirakam


HIDUPAN akuatik jarang mampu hidup di perairan dasar laut yang gelap.


TOKYO - Pasukan penyelidik bersama Jepun-Britain melakar sejarah apabila merakamkan 17 kumpulan ikan hidup di dasar paling dalam menjangkau 7.7 kilometer daripada paras laut.

Ditemui di Jurang Jepun di Lautan Pasifik, pergerakan ikan tersebut dikenali sebagai Pseudoliparis amblystomopsis difilemkan oleh kamera kawalan jauh tekanan tinggi.

Rekod rakaman ikan hidup paling dalam sebelum ini di Jurang Puerto Rico sejauh lapan kilometer pada 1970 namun ikan Abyssobrotula galatheae itu mati apabila tiba di permukaan.

"Ikan kali ini setiap seekornya sepanjang 30 sentimeter dan kami teruja menyaksikan mereka berenang kerana spesies ini kelihatan comel," kata saintis Monty Priede dari Universiti Aberdeen. - Agensi

Saturday, October 11, 2008

Nokia E61i

Persis komputer riba


SKRIN lebar yang dimiliki Nokia E61i ini memberikan kepuasan ketika menatap emel.


DENGAN kelebaran 70 milimeter, model E61i Nokia memberikan pengalaman baru kepada penulis dalam penggunaan telefon bimbit. Ia nyata berbeza dengan telefon bimbit yang biasa penulis gunakan yang lazimnya dapat digenggami penuh tangan.

Fungsi dan kondisi fizikalnya memungkinkan penulis menganggapnya seperti komputer riba. Bersifat mudah alih, pad kekunci berwarna peraknya juga disusun seperti pada komputer iaitu versi QWERTY.

Kekunci navigasinya berada di tengah telefon bimbit dan di kiri serta kanannya terdapat beberapa kekunci pintas untuk ke menu, buku telefon, mesej dan sebagainya.

Penulis melihat telefon ini ideal bagi mereka yang berkecimpung dalam dunia bisnes, seperti juga telefon bimbit E65 yang pernah direviu di laman ini. Skrin lebarnya memberikan kepuasan ketika menatap emel dan melayari internet menerusi 3G.

Bukan bersandar kepada skrin lebarnya semata-mata, pengalaman beremel diperbaik dengan protokol emel dilanjutkan kepada POP/IMAP dan SMTP. Anda juga boleh membuka emel yang dilampirkan bersama lampiran dengan perisian Quickoffice, ZIP Manager dan Adobe Acrobat Reader.

Nokia E61i menyokong solusi korporat emel mudah alih seperti Nokia Intellisync Wireless Email, Good Mobile Messaging, Mail for Exchange, Seven Mobile Mail dan Blackberry Connect serta kebanyakan solusi emel pengguna yang popular.

Telefon bimbit yang didapati dalam warna Mocca ini juga dilengkapi dengan Bluetooth, inframerah dan WLAN. Perkhidmatan digital di udara (OTA) membolehkan ia memuat turun nada dering, emel, WAP, MMS dan logo operator.

Apabila hendak berhibur, anda boleh mendengar lagu-lagu kegemaran di perpustakaan lagu anda. E61i menerima audio berformat AAC, MP3, MP4, MIDI and SP-MIDI. Anda bahkan boleh mengawal volume suara dengan menekan kekunci yang terdapat di sisi kanan telefon bimbit. Kekunci rakaman suara turut berada di sisi yang sama.

Anda juga boleh mengambil gambar dan merakamkan video saat-saat penting dalam hidup anda dengan menggunakan kamera beresolusi 2 megapikselnya.

Telefon bimbit ini dilengkapi dengan memori bina dalam 60 megabait dan menerima memori luaran microSD sehingga 2 gigabait.

Selain itu, telefon berharga RM1,799 ini dilengkapi fungsi-fungsi lain seperti kalkulator, kalendar, nota, pembaca mesej, penukar unit dan cetakan menggunakan teknologi tanpa wayar Bluetooth.

Aura Generasi Ke-10




Bertindak selaku jentera sedan sport kompak, model yang dikenali dengan kod nama Evolution atau lebih dikenali sebagai Evo ini sememangnya menandakan satu evolusi kejayaan buat Mitsubishi dalam penghasilan jentera berkuasa tinggi.

Pada asalnya, model ini hanya dibina oleh pihak Mitsubishi Motors untuk pasaran domestik Jepun. Namun, ia terus mendapat sambutan hangat di United Kingdom dan negara-negara Eropah sekitar lewat tahun 1990-an. Biasanya, model-model ini dibawa masuk oleh grey importer.

Kemudian, Mitsubishi mengambil keputusan untuk mengeksport generasi kelapan Evo ke pasaran Amerika mulai tahun 2003, setelah melihat kejayaan model WRX keluaran Subaru di sana.

Jentera Evo sebelum ini dibangunkan daripada model sedan versi V yang melayakkan Mitsubishi untuk menyertai kelas Group A dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan kejohanan SCCA Pro Rally.




Bagi memenuhi peraturan yang telah ditetapkan, Evo menggunakan platform yang sama dengan model Lancer. Namun, persamaannya hanyalah dari aspek unibody, sedangkan jentera Evo jauh lebih berkuasa menerusi aplikasi enjin turbocharged bersesaran dua liter yang dipadankan dengan sistem pacuan keempat-empat roda (AWD), tahan lasak dan menerima pelbagai talaan khas.

Pengaruh model Lancer Evo ini cukup kuat, tidak terkecuali dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Bagi mereka yang sanggup berhabis sehingga ratusan ribu ringgit, mendapatkan sebuah model Evo pastinya satu 'pencapaian hidup' yang begitu membanggakan.

Namun, bagi golongan biasa yang hanya mempunyai mimpi untuk memandu sebuah Evo, jalan paling mudah dan murah ialah melakukan ubahsuai pada model Proton Wira.

Bagi membuatkan Wira itu kelihatan seperti sebuah Evo, bermacam-macam ubahsuai boleh dilakukan sehinggakan pada satu tahap, penulis tidak sanggup lagi melihatnya.

Kasihan, tetapi itulah hakikat yang terpaksa ditelan apabila menjadi warganegara yang menerima cukai kenderaan antara tertinggi di dunia.

Menyedari minat pengguna terhadap model Evo yang tidak pernah berkurang, pengedar sah jenama itu, Mitsubishi Motors Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model terbaru edarannya, Lancer Evolution.




Tidak mahu menjadi sekadar model facelift, Lancer Evolution yang merupakan generasi ke-10 dalam keluarga Evo ini menerima platform dan enjin serba baru, selain reka bentuk lebih baik untuk bahagian dalaman serta luarannya.

Ingin memberi maklum balas kepada kehendak pasaran yang mahukan reka bentuk lebih menarik, keluasan kabin dan tahap keselamatan terbaik, model ini turut menampilkan rekaan yang membawa aspek aerodinamik ke satu tahap baru.

Dilengkapi dengan teknologi kejuruteraan automotif terkini, Lancer Evolution ini menggunakan enjin penuh kuasa dan ringan yang dikenali dengan kod 4B11.

Bersesaran dua liter, lengkap dengan sistem MIVEC (Mitsubishi Innovative Valve-Timing Electronic Control), enjin blok aluminium Twin Scroll Turbocharged ini berupaya menghasilkan kuasa sehingga 291bhp atau 295 PS dan tork maksimum 366Nm.

"Dengan pengalaman dalam perlumbaan selama tiga dekad, Lancer Evolution baru ini sememangnya mewakili model utama Mitsubishi Motors, selain menjadi simbol kepada DNA Mitsubishi dalam dunia pemotoran.

"Para jurutera Mitsubishi Motors telah cuba sedaya upaya untuk menyeimbangkan reka bentuk dan fungsinya, di samping mengekalkan warisan sebuah Evolution," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Keizo Ono.

Buat pertama kalinya juga, kotak gear automatik enam kelajuan Twin Clutch SST dipasangkan pada model Lancer Evolution. Kotak gear automated manual ini menggabungkan antara prestasi enjin dan kemudahan mengaplikasikan gear automatik.


PAPARAN meter yang ringkas dan informatif.


Ia menggunakan ciri dual klac untuk memberikan proses penukaran gear lebih lancar, tanpa perlu berkompromi terhadap tujahan kuasa dan aspek penjimatan minyak.

Kotak gear ini juga membolehkan pemandu memilih antara tiga mode kawalan iaitu normal, sport dan s-sport bagi memenuhi keperluan pemanduan yang berbeza.

Jadi, 'nikmat' memandu jentera berkuasa ini bukan terhad kepada peminat tegarnya sahaja, malah teknologinya membuka peluang buat pasaran yang lebih luas.

Mitsubishi mahu menjadikan Lancer Evolution sebagai sebuah jentera yang pantas, selamat dan selesa dipandu. Justeru, model ini dipadankan dengan sistem AWD yang memperkenalkan dimensi baru antara ciri kelajuan, kawalan dan keselamatan.

Dinamik pemanduan jentera ini pula disumbang oleh sistem S-AWC (Super All Wheel Control). Sistem kawalan dinamik kenderaan termaju ini mengintegrasikan pengurusan beberapa sistem lain termasuklah ACD (Active Centre Differential), AYC (Active Yaw Control), ASC (Active Stability Control) dan Sport ABS (Sport Anti-lock Brake System) untuk memberikan kawalan yang terbaik di jalan raya.

Sebagai salah satu DNA dalam penghasilan jentera Mitsubishi Motors, para juruteranya telah mereka semula sistem suspensi buat Evo ini.

Hasilnya, sistem ini dilengkapi dengan brek-brek ventilasi berjenama Brembo, pegas gegelung Eibach bersama penyerap hentakan Bilstein dan rim aloi BBS ringan bersaiz 18 inci. Manakala roda hadapannya menggunakan sistem suspensi topang MacPherson dan suspensi jenis multi-link untuk roda belakangnya.

Penumpang tidak perlu bimbang apabila berada di dalam kabin Lancer Evolution. Ini kerana kerangkanya dibina di atas struktur RISE (Reinforced Impact Safety Evolution) binaan Mitsubishi.

Sebagai perlindungan tambahan, model ini didatangkan bersama sistem tujuh beg udara SRS, selain penggunaan tali pinggang keledar ELR dengan ciri pra-regangan dan pengehad tolakan.


MODEL ini turut didatangkan dengan sunroof.


Manakala lampu HID (High Intensity Discharge) dan sistem lampu (Adaptive Front Lighting System) hadir sebagai ciri standard pada Lancer Evolution.

Bahagian kabin model ini memberi penekanan terhadap aspek ergonomik, di samping rekaan papan pemuka yang ringkas dan kemas.

Didominasi dengan warna hitam, pemandu pastinya tersenyum apabila dipeluk oleh tempat duduk kulit dari Recaro, ketika dihiburkan menerusi sistem audio premium Rockford Fosgate.

Ditawarkan pada harga RM 315,436.10 seunit (tanpa insurans), Mitsubishi Motors Malaysia meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 50 unit Lancer Evolution menjelang akhir tahun ini. Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu putih, hitam atau merah.

http://www.productwiki.com/upload/images/2008_mitsubishi_lancer.jpg